Posted by SK KESANG TUA
| 12:59 PTG

SK Kesang Tua Johan Tilawah Al-quran Perempuan MTQSS Kawasan Jasin 2014

SK Kesang Tua telah menghantar wakil ke pertandingan yang diadakan bersempena Majlis Tadarus al-Quran Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia bagi Kawasan Jasin pada 19 April yang lepas. Seramai 6 orang peserta yang dihantar mewakili sekolah untuk semua kategori.


Sekolah Kebangsaan Kesang Tua muncul Johan bagi Tilawah al-Quran (Perempuan) yang telah diwakili adik Nurul Balqis Syuhada binti Yazid. Beliau yang kali kedua memasuki pertandingan ini akan mewakili kawasan Jasin ke Majlis Tadarus al-Quran peringkat negeri Melaka pada 5 Mei 2014 ini. Semoga beliau diberi kejayaan dalam pertandingan tersebut.

Bagi kategori Hafazan (Perempuan), Nur Izyan binti Omar pula meraih Naib Johan. Manakala Nurul Izzati binti Faizaludin mendapat tempat Ketiga bagi pertandingan Bercerita (Perempuan).

Pihak sekolah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua peserta yang berjaya dan yang menyertai pertandingan ini. Mudah-mudahan pertandingan ini mendekatkan murid-murid kepada al-Quran dan menghayati isi kandungan al-Quran dalam kehidupan mereka.
Posted by SK KESANG TUA
| 12:47 PTG

Kejohanan Ragbi MSSM Peringkat Negeri Melaka 2014 (Bawah 12 Tahun)

Sekolah Kebangsaan Kesang Tua telah diamanahkan sebagai pengelola bagi Kejohanan Ragbi MSSM Peringkat Negeri Melaka 2014 (Bawah 12 Tahun) pada 11-12 April 2014. Kejohanan ini telah berlangsung dengan jayanya di Mini Stadium Jasin dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Pejabat Pendidikan Daerah Jasin, Majlis Perbandaran Jasin, Pejabat Daerah & Tanah Daerah Jasin, SBPI Selandar, Aiman Sofia Enterprise, Jasiniese Sports Centre, Petronas Bemban, PIBG SK Kesang Tua dan banyak lagi.

Pada kejohanan kali ini, sebanyak 14 buah sekolah dari pelusuk negeri Melaka telah mengambil bahagian. Terdapat 4 kategori perlawanan yang diadakan iaitu Kategori Cup, Plate, Bowl dan Shield. Perlawanan yang berlangsung selama dua hari ini bertujuan untuk memberi peluang kepada murid-murid  melibatkan diri secara aktif dalam bidang ko-kurikulum khususnya ragbi. Di samping itu juga, kejohanan ini diharapkan dapat membina potensi murid-murid secara holistik sama ada dari sudut rohani, jasmani, emosi dan intelektual.

Perlawanan Akhir Kategori CUP di antara SRA JAIM Pernu dan SK Kesang Tua


Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Roslan bin Eusoff, Pegawai Daerah Jasin. Sekolah Rendah Agama JAIM Pernu meraih gelaran Juara bagi keseluruhan kejohanan pada kali ini. Manakala Sekolah Kebangsaan Kesang Tua mendapat Naib Johan Kategori CUP.

Bacaan doa oleh Ustaz Azrul Abu Aman

Ucapan Perasmian oleh Encik Roslan bin Eusoff, Pegawai Daerah Jasin

Ucapan alu-aluan oleh Encik Rosli bin Karim, Guru Besar SK Kesang Tua


SRA JAIM Pernu muncul Johan Kategori CUP

SK Kesang Tua meraih Naib Johan Kategori CUP

Pihak pengelola merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga SK Kesang Tua dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan pada kali ini.

Antara guru yang menjayakan kejohanan pada kali ini:








Posted by SK KESANG TUA
| 1:31 PG

TAHNIAH PASUKAN RAGBI SK KESANG TUA!

Pasukan ragbi SK Kesang Tua raih tempat ketiga.


Pada 25 Januari 2014, bertempat di Kolej Vokasional Melaka Tengah, Unit Sukan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka telah menganjurkan Kejohanan Ragbi Raiser Cup Bawah 12 dan 18 tahun peringkat negeri Melaka. SK Kesang Tua telah menyertai kejohanan tersebut yang merupakan kejohanan pembuka tirai bagi kalendar sukan ragbi Majlis Sukan Sekolah Negeri Melaka bagi 2014.

Kejohanan selama sehari ini melibatkan sekolah-sekolah di negeri Melaka dan diadakan dengan format 7 sebelah. Pada kejohanan tersebut, pasukan ragbi SK Kesang Tua telah berjaya menjadi johan kategori “Cup” kategori bawah 12 tahun menewaskan beberapa sekolah lain sekitar negeri Melaka.

Barisan pemain pasukan ragbi SK Kesang Tua



Permulaan yang baik buat pasukan ragbi SK Kesang Tua bagi 2014 setelah berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan pada kejohanan ragbi MSS Melaka pada tahun 2013. Diharapkan pencapaian dan pencapaian ini dapat dikekalkan menjelang kejohanan ragbi bawah 12 tahun peringkat MSS Melaka yang dijadualkan pada April ini di mana SK Kesang Tua telah dipilih sebagai sekolah pengelola bagi kejohanan tersebut.

Penyampaian Hadiah di perhimpunan rasmi


 




Posted by SK KESANG TUA
| 10:55 PG

Kem Bestari Solat Tahun 1&2 Siri 1


Pada 25 Januari 2014, Sekolah Kebangsaan Kesang Tua telah mengadakan Kem Bestari Solat Siri 1 untuk semua murid Tahun 1 dan Tahun 2. Kem Bestari Solat Tahun 2 telah dikendalikan oleh murid turus yang terdiri daripada murid-murid terpilih Tahun 5 manakala Tahun 1 pula telah dikendalikan oleh guru-guru Agama Islam dan j-QAF.




Murid-murid ini turut solat Zuhur secara berjemaah sebelum pulang. Diharapkan Kem Bestari Solat ini mampu memberi pengetahuan yang mendalam dan meningkatkan semangat murid-murid untuk menunaikan solat.
Posted by SK KESANG TUA
| 10:22 PG

Kem Bestari Solat Perdana

Pada 24 hingga 25 Januari 2014, Sekolah Kebangsaan Kesang Tua telah mengadakan Kem Bestari Solat Perdana bagi murid-murid Tahun 6. Program ini dikendalikan oleh Darul Hijrah Management. Kem selama 2 hari 1 malam ini membimbing murid-murid mendalami ilmu berkaitan solat dan meningkatkan motivasi mereka dalam menunaikan solat.

Pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang kem ini diadakan, antaranya ialah Latihan dalam Kumpulan (LDK), slot muhasabah, Explorace Solat dan sebagainya.




Posted by SK KESANG TUA
| 12:47 PG

KLINIK RAGBI SK KESANG TUA BERSAMA SBP INTEGRASI SELANDAR 2014

Klinik Ragbi SK Kesang Tua bersama SBPI Selandar 2014


Pada 14 Januari 2014, SK Kesang Tua telah mengadakan satu klinik ragbi bersama SBPI Selandar yang telah diadakan di padang SK Kesang Tua. Ini merupakan program pertama bersama kedua-dua sekolah bagi program ragbi selepas termeterainya perjanjian persefahaman (MoU) sekolah angkat sukan ragbi bagi kedua-dua sekolah pada penghujung 2013.  Klinik ragbi yang telah diadakan ini melibatkan pemain dari tahun 4 hingga tahun 6 SK Kesang Tua dan pelajar tingkatan 1 SBPI Selandar yang baru mendaftarkan diri di SBPI Selandar.

Jurulatih dari kedua-dua sekolah berkongsi ilmu dan kemahiran kepada semua peserta klinik ragbi yang hadir pada kali ini. Klinik ragbi ini telah bermula pada jam 8.30 pagi dan tamat pada jam 11.00 pagi. Beberapa lagi siri program bakal diadakan antara kedua-dua sekolah dan diharapkan program yang disusun dapat memberikan kesan serta hasil yang positif bagi kedua-dua pihak.

Ketibaan pelajar-pelajar dari SBPI Selandar

Taklimat awal daripada jurulatih ragbi

Latihan ragbi di padang SK Kesang Tua





Posted by SK KESANG TUA
| 4:26 PTG

MESYUARAT GURU KALI PERTAMA

Perhatian kepada semua guru SK Kesang Tua, Mesyuarat Guru kali Pertama akan diadakan seperti butiran berikut: Tarikh: 23 Disember 2013 Hari : Isnin Masa : 8.00 pagi Tempat: Makmal Komputer Kehadiran adalah wajib. Sekian, terima kasih.
Posted by SK KESANG TUA
| 12:06 PTG

Salam Takziah

Ucapan takziah buat Puan Syamimi binti Mohamad Kamil dan Encik Jefri Jinal atas kehilangan ibu pada 5.45petang semalam (10 September 2013). Seluruh warga sekolah mendoakan agar ruhnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-fatihah....

Semoga sabar dalam menerima musibah....
Posted by SK KESANG TUA
| 5:33 PTG

Konvoi Merdeka PPD ke SK Kesang Tua.




Pada 7 September 2013, SK Kesang Tua menerima kunjungan daripada Konvoi Merdeka warga PPD Jasin. Sambutan meriah yang diwarnai dengan  kibaran jalur gemilang menghangatkan suasana. Wajah murid-murid tampak ceria tatkala menyambut ketibaan rombongan Konvoi Merdeka PPD Jasin.




Encik Abu Bakar bin Alim, Pegawai  Pendidikan Daerah Jasin  yang turut hadir sempat menyaksikan persembahan koir daripada murid-murid Tahun 5 Cerdas dan 4 Cerdik. Selain daripada itu, wakil murid daripada Kelab Doktor Muda turut mendeklamasikan sajak kemerdekaan.

Pihak SK Kesang Tua sangat terharu dan berbesar hati menerima kunjungan tersebut. Warga SK Kesang Tua berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan  datang.







Posted by SK KESANG TUA
| 10:49 PTG

Tips Menghadapi Peperiksaan

Tip ini di ambil dari akbarberita harian untuk pekongsian kita bersama. Antaranya ialah :
1. Semak jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.
Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.
2. Kunci peperiksaan
Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.
Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.
3. Tentukan keutamaan
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.
Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.
4. Banyak mengingat dan membuat kaitan
Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.
5. Merancang persiapan peperiksaan
Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.
Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.
Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.
Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.
Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.
b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.
Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.
Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.
Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel
Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.
Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.
c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.
Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.
6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan
Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.
7. Berdoa dan bertawakal
Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kenali SKKT